“Bagi menyempurnakan titah perintah Seri Paduka Baginda Yang di-Pertuan Agong, setelah diperkenan oleh Duli-Duli Yang Maha Mulia Raja-Raja, dengan ini saya mengisytiharkan tarikh Hari Raya Haji bagi negeri-negeri seluruh Malaysia telah ditetapkan pada hari Ahad, 6 Nov 2011/ 10 Zulhijjah 1432H,”Penyimpan Mohor Besar Raja-Raja Datuk Syed Danial Syed Ahmad . – petikan dari Radio Televisyen Malaysia .
Sejarah Hari Raya Aidiladha merupakan perayaan yang istimewa kerana ia merupakan hari untuk umat Islam memperingati kisah pengorbanan Nabi Ibrahim a.s dalam menunaikan perintah Allah dan ke-sabaran anaknya Nabi Ismail a.s dalam memenuhi perintah Allah s.w.t.Bulan ini juga adalah bulan umat Islam mengerjakan Haji serta mengadakan ibadah korban. Seluruh umat Islam mendapat kebajikan daripadanya, baik mereka yang menunaikan Haji dan mereka yang tidak menunaikan haji tetapi melakukan ibadah korban serta kaum fakir miskin yang memperoleh rezeki korban.
Selain itu, salah satu keistimewaan Aidiladha dan Hari Tasyrik ialah ibadat korban. Ibadat korban ini hanya boleh dilakukan dalam empat hari iaitu bermula waktu selepas khatib menyampaikan khutbah Aidiladha sehingga sebelum tenggelam matahari pada hari ke-13 Zulhijah.
“Dan bagi tiap-tiap umat, Kami syariatkan ibadat menyembelih korban (atau lain-lainnya) supaya mereka menyebut nama Allah sebagai syukur tanda Pengurniaan-Nya kepada mereka; (iaitu) binatang-binatang ternak yang disembelih itu. Kerana Tuhan kamu semua ialah Tuhan Yang Maha Esa, maka hendaklah kamu tunduk taat kepada-Nya dan sampaikanlah berita gembira (wahai Muhammad) kepada orang-orang yang tunduk taat.